Friday 27 March 2009

U-S-R-A-H

Usrah merupakan satu kalimah yang tidak asing bagi setiap pelajar baik di peringkat pengajian rendah mahupun di peringkat tinggi.Mahasiswa azhari yang lebih banyak bergelumang dengan ilmu-ilmu agama juga tidak ketinggalan dari menjadi subjek atau sasaran di dalam pembawaan usrah.Menjadi satu identiti bagi masyarakat azhari sejak sekian dahulu sehingga ke hari ini di dalam melibatkan diri di dalam sistem usrah yang juga dikenali dengan muzakarah berkelompok.

Usrah merupakan satu manhaj dan sistem yang telah diasaskan oleh seorang tokoh ulamak terkenal di Mesir yang mana pada hari ini telah meluas diguna pakai di seluruh dunia.Usrah memainkan peranan penting bagi suatu pertubuhan atau persatuan di dalam menyampaikan tarbiyah dan pendidikan kepada ahli-ahlinya dan memberi kefahaman yang lebih jelas dan berkesan terhadap tuntutan Islam yang syumul.

Usrah juga dilihat mampu melahirkan individu-individu yang berakhlak dan berthaqafah.
Pada hari ini, sistem yang menjadi nadi penggerak dakwah utama PMRAM telah melalui perjalanan yang cukup jauh sekaligus mematangkan pembawaannya dari semasa ke semasa.Usrah bukanlah semata-mata sekumpulan kecil yang dibentuk di dalam halaqah atau bulatan kecil sepertimana yang difahami oleh segelintir mahasiswa azhari.Usrah juga bukanlah semata-mata pertemuan sejam atau dua jam yang hanya membincangkan hal-hal agama sepertimana yang ditanggapi oleh sekelompok mahasiswa azhari.Akan tetapi hakikat usrah adalah lebih luas dan lebih matang daripada itu malahan mencakupi segala permasalahan dan perihal dari pelbagai skop yang lebih fleksibel dan maksimum.

PMRAM menerusi medium DPM yang sedia ada berusaha untuk meluaskan rangkaian usrah ini dengan lebih luas dan berkualiti.Pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi memastikan perjalanan usrah di setiap kawasan mendapat liputan yang baik dan jelas tanpa sebarang permasalahan.Justeru DPM Damanhur sebagai salah sebuah persatuan yang bernaung di bawah PMRAM juga tidak ketinggalan dari memberi sumbangan ke arah matlamat ini.Dengan penubuhan Jabatan Nuqaba’ di bawah seliaan Unit Dakwah dan Pembangunan Insan sejak awal sesi lagi dilihat mampu membantu pihak DPM di dalam menjayakan usaha murni ini.

Bermula dengan pemantauan para naqib yang dirasakan berpengalaman, pihak Jabatan Nuqaba’ berusaha untuk meluaskan penglibatan usrah ini kepada semua ahli-ahli di Damanhur di samping memfokuskan kepada mahasiswa-mahasiswa baru.Menjadi satu harapan besar kepada pihak Jabatan Nuqaba’ di dalam usaha melahirkan anak-anak usrah yang mampu memberi sumbangan kepada Islam pada masa akan datang.Walaupun di sana kedapatan pelbagai kepincangan yang berlaku, pihak Jabatan Nuqaba’ tetap akan sedaya upaya memperbaiki seterusnya meningkatkan mutu pembawaan usrah di DPM Damanhur.
Dengan tema pembawaan “Thaqafah dan Biah Solehah” diharap mampu membawa dan menjulang usrah ke tahap yang lebih baik dan berkesan.Sehingga ke saat ini, pelaksanaan usrah di DPM Damanhur dilihat masih lagi memerlukan kepada penyerapan teknik dan strategi baru serta pelbagai bagi memperkasakannya.Menyedari akan keperluan ini, pihak Jabatan Nuqaba’ sentiasa memikirkan kaedah-kaedah serta pembawaan yang lebih berkesan dan menyeronokkan di dalam pelaksanaannya.Walaubagaimanapun, satu pihak yang pada hakikatnya lebih banyak memainkan peranan penting adalah dari sudut para naqib itu sendiri.Ini kerana para naqib merupakan individu-individu yang lebih hampir dan memahami jiwa dan kehendak anak-anak usrah sekaligus memberi tenaga dan minat kepada mereka di dalam mengikuti perjalanan usrah tersebut.

Justeru, selain para naqib yang bertungkus-lumus mengendalikan usrah masing-masing, pihak Jabatan Nuqaba’ juga merancang untuk mempelbagaikan pengisian sedia ada di dalam usrah.Usaha tersebut dimulakan dengan pengisian pengkajian serta penterjemahan bahan-bahan ilmiah di dalam setiap usrah di samping membawa permasalahan isu-isu terkini untuk dibincangkan seterusnya diperhalusi dan diselesaikan bersama.Usaha ini adalah seiring dengan tema pembawaan usrah pada kali ini di dalam menambah dan mempelbagaikan thaqafah di kalangan anak-anak usrah.Tidak lupa di dalam membina biah solehah di kalangan mereka, pengisian usrah juga akan lebih menjurus kepada pembinaan syakhsiah diri dan modal insan yang disasarkan.Menjadikan usrah sebagai medan nasihat dan peringatan diharapkan berjaya memperolehi hasil yang lebih baik dan matang.

Oleh itu, pelaksanaan usrah di peringkat DPM Damanhur khususnya sangat memerlukan kepada pengendalian yang lebih bijak dan menyeluruh dari semua pihak baik di kalangan naqib mahupun di kalangan anak buah.Mensasarkan matlamat yang lebih besar diyakinkan dapat memacu perjalanan usrah dengan lebih mantap sehingga benar-benar menjadi medan yang berkesan kepada Islam itu sendiri.Semoga setiap ahli dapat sama-sama memberi komitmen dan sumbangan di dalam memastikan matlamat kita pada kali ini tercapai.Insya Allah.
Wallahu’alam..

Jabatan Nuqaba’
Dewan Perwakilan Mahasiswa Damanhur
Sesi 2008/2009
“ Thaqafah dan Biah Solehah ”

[+/-] Baca Selengkapnya...

Muqadimah..

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum..
Ahlan Wa Sahlan kepada semua sahabat-sahabat Damanhur!
Laman blog ini merupakan medan usrah bagi kesemua para nuqaba' dan ahli-ahli usrah DPMDM
Selamat Berusrah!

[+/-] Baca Selengkapnya...

About This Blog

About This Blog

  © Blogger templates 'Sunshine' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP