Saturday 4 April 2009

Hasad Dari Perspektif Islam (bhgn 1)

Hasad merupakan satu sifat yang cukup dikenali di kalangan masyarakat kita khasnya Melayu Islam yang semakin lama semakin menular di setiap peringkat baik umur dan baik profesion.Pada hakikatnya, hasad yang menjadi penyakit masyarakat kini adalah hasad yang ditegah sekeras-kerasnya oleh syarak dan tidak ramai yang mengetahui bahawa di sana juga terdapat sifat hasad yang diharuskan oleh agama kita yang suci.Justeru, bagi merungkaikan perkara ini, terlebih dahulu hendaklah kita mengetahui secara terperinci apakah hakikat sebenar bagi hasad.

Definisi bagi hasad dari sudut bahasa dan syarak mengandungi dua kategori.Salah satu daripadanya ialah “ membenci nikmat yang dikecapi oleh seseorang dan bercita-cita supaya nikmat tersebut hilang daripada individu tersebut ” atau dengan istilah Melayu kita, iaitu dengki.Adapun kategori yang kedua ialah “ mengagumi nikmat yang ada pada seseorang individu tanpa wujud harapan supaya nikmat tersebut hilang daripada individu tersebut ”.Hasil daripada ini, dapat kita ketahui bahawa jenis atau kategori yang kedua ini juga diistilahkan dengan ‘ghibtoh’atau kegembiraan.

Kategori hasad yang pertama adalah sifat yang ditegah oleh syarak dan merupakan perkara yang diharamkan manakala hasad yang kedua pula adalah sifat yang tidak diharamkan dan tidak juga ditegah oleh syarak yang benar.Sesungguhnya telah datang setiap ayat mengenai hasad di dalam Al Qur’an menyentuh sifat hasad yang pertama yang diharamkan sepertimana di dalam firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“Dan dari kejahatan orang yang (hasad) dengki apabila ia melakukan (hasadnya) dengkinya (Al Falaq : 5)

Imam Al Baidhawi berkata; “ Bilamana seseorang itu menyatakan hasadnya dan melakukan tuntutan-tuntutannya(hasad) maka sesungguhnya mudharat itu tidak kembali daripadanya kepada orang yang dihasadkan ”.Sepertimana telah datang ayat Al Qur’an menyatakan cita-cita buruk ahli kitab untuk mengeluarkan umat Islam daripada agama mereka di dalam firman Allah s.w.t yang bermaksud :

“ Banyak di antara ahli kitab(Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri sesudah nyata kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w) ”
(Al Baqarah : 109)

Justeru, telah jelas di dalam syariat Islam perintah berjaga-jaga kepada umat Islam supaya mencegah diri daripada penyakit hasad ini.Sesungguhnya hal mengenai perintah berjaga-jaga dari perasaan hasad ini telah nyata di dalam Al Qur’an bahawa Allah s.w.t telah memerintah RasulNya dan umat Islam supaya memohon perlindungan daripada perasaan hasad sepertimana firmanNya yang bermaksud :“ Katakanlah(wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekelian makhluk, Dari bencana makhluk-makhluk yang Dia ciptakan, Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk, Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan), Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya ” (Al Falaq : 1-5)

[+/-] Baca Selengkapnya...

About This Blog

About This Blog

  © Blogger templates 'Sunshine' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP