Saturday 2 May 2009

Hukum Li'an dan DNA

Assalamualaikum...
Di sini, pihak Fasilitator menyediakan artikel berkaitan perbahasan ulamak hari ini terhadap permasalahan yang telah ditimbulkan sebelum ini.Diharap sahabat-sahabat ahli usrah sekelian dapat mengambil manfaat daripada sumbangan artikel ini.Sebarang kesilapan dan pembetulan boleh merujuk kepada Jabatan Nuqaba' DPMDM.
Selamat membaca !
Artikel ini telah dikemaskini kepada fail PDF disebabkan mengambil ruang yang panjang.Antum boleh dapatkannya pada penelitian fasilitator



[+/-] Baca Selengkapnya...

Friday 17 April 2009

PENELITIAN FASILITATOR MINGGU INI : DNA PENGGANTI PELAKSANAAN LI'AN (اللعان) ?

Slot 'Penelitian Fasilitator' pada kali ini akan mengajak sahabat-sahabat daripada semua peringkat usrah untuk membincangkan tajuk yang tertera di sini sebagai tambahan manhaj di dalam usrah Damanhur.Diharapkan mampu menambah thaqafah di kalangan ahli usrah Damanhur.
Baru-baru ini, kita telah digemparkan dengan sebuah fatwa yang dikeluarkan oleh seorang ulamak terkemuka di Mesir, Doktor Nasr Farid Wasil yang merupakan mantan mufti Republik Arab Mesir.Beliau sebelum ini telah menyatakan fatwa beliau bahawa penggunaan kaedah D.N.A boelh menjadi pengganti atau langkah alternatif bagi pelaksanaan li’an atau sumpah laknat antara suami dan isteri.
Justeru, timbul persoalan di sekitar pernyataan fatwa tersebut di kalangan para ulamak dan ahli feqah berkenaan adakah pendedahan, pengetahuan serta pengkajian ilmu sains moden boleh dijadikan tempat pergantungan di dalam pelaksanaan hukum-hukum syarak?
Adakah kajian analisis genetik dapat mensabit jenayah zina ke atas si isteri sekiranya kajian tersebut membuktikan bahawa anak yang dilahirkan itu bukan dari keturunan suaminya?
Adakah si suami akan dihukum had qazaf apabila kajian analisis genetik membuktikan anak yang dilahirkan oleh isterinya adalah daripada darah dagingnya?

Persoalan-persoalan ini timbul di sekitar perbahasan ulamak tentang kedudukan kajian analisis genetik (D.N.A) sebagai pengganti kepada pelaksanaan hukum li'an.
Oleh itu, kita akan ikuti sedikit perbincangan pro dan kontra yang timbul di sekitar permasalahan ini di kalangan mereka yang berkelayakan dan mengambil pengajaran serta ilmu yang bermanfaat untuk kita selaku mahasiswa Al Azhar.Diharapkan sahabat-sahabat dapat menjadikan tajuk ini sebagai salah satu isu perbincangan di dalam usrah pada minggu ini.Perbahasan penuh akan menyusul kemudian sebagai jawapan kepada perbincangan di dalam usrah.Insya Allah.






[+/-] Baca Selengkapnya...

Tuesday 14 April 2009

MUZAKARAH GABUNGAN : BICARA FEQH JADI PENDEKATAN

Muzakarah gabungan yang telah dianjurkan oleh Jabatan Nuqaba' Peringkat Damanhur berjaya dilaksanakan pada 9 April 2009 bersamaan 13 Rabiul Akhir 1430 pada Hari Khamis di Dewan Utama Darul Huda.Muzakarah gabungan yang diadakan sekurang-kurangnya sebulan sekali telah berjaya menarik ramai ahli-ahli usrah Damanhur untuk menyertai pengisian pada kali ini.Setelah program BBQ yang telah diadakan pada muzakarah gabungan bulan lalu, kali ini peringkat Jabatan Nuqaba' telah bersepakat untuk membuat sedikit kelainan seiring dengan tema pembawaan usrah kali ini iaitu ' Thaqafah dan Biah Solehah '.


Bicara Feqh menjadi pilihan para fasilitator untuk diketengahkan bagi menambahkan thaqafah di kalangan setiap fasilitator serta ahli-ahli usrah.Program pada kali ini dilaksanakan bagi membincangkan beberapa permasalahan feqah semasa yang dilihat bersesuaian dengan realiti pada hari ini.Bermula dengan pembahagian tajuk serta isu kepada kesemua usrah yang hanya melibatkan mahasiswa tahun 3 dan tahun 4 dilihat mampu merealisasikan matlamat pembawaan usrah di peringkat Damanhur.Tiga tajuk telah diberi pilihan kepada kesemua ahli-ahli Damanhur untuk diundi sebagai tajuk pilihan di dalam Bicara Feqh.Antaranya ialah :
1.Khalwat Ajnabiah
2.Hudud dan Kesyumulannya
3.Kependudukan Kafir Zimmi di Negara Islam
Setelah beberapa hari dibuka untuk undian, akhirnya undian telah berpihak kepada tajuk yang pertama iaitu Khalwat Ajnabiah.Di antara panel yang telah dihantar oleh peringkat usrah masing-masing adalah :
• Ust.Mohd Faizal Bin Sulaiman (Usrah Ust.Khairul Hafiz)
• Ust.Murshid Amin (Usrah Ust.Che Rahim)
• Ust.Muhammad Amir Hafizu Zakaria (Usrah Ust.Taufiq)
Perbincangan banyak berlegar di sekitar definisi serta dalil dan hujah bagi hukum-hukam yang berkaitan dengan tajuk yang dipilih serta permasalahan canga yang timbul.Lebih menarik, perbincangan yang berlangsung dijalankan dalam konsep dua hala yang banyak melibatkan persoalan dan pandangan daripada hadirin yang hadir.Pelbagai reaksi menarik dapat disaksikan sepanjang perbincangan baik daripada peringkat usrah tahun satu sehinggalah usrah tahun akhir.
Lebih penting lagi, aspek utama yang cuba ditonjolkan oleh penganjur pada kali ini adalah dengan cuba memberi kesedaran kepada setiap ahli usrah terhadap kepentingan serta keseronokan di dalam bermuzakarah yang diadakan setiap minggu.Ini kerana setiap kali ahli usrah yang bangun untuk memberi pandangan atau respon, mereka akan diminta untuk memperkenalkan diri serta usrah yang disertai setiap minggu sekaligus membuatkan mereka merasakan diri memiliki keluarga serta tidak kesunyian sepanjang pengajian di Damanhur.

Walaubagaimanapun, di sebalik pelaksanaan Bicara Feqh buat julung kali ini, pihak penganjur melihat terdapat beberapa muhasabah yang perlu diambil perhatian.Di antara perkara yang perlu diperbaiki adalah melantik individu-individu yang berpengalaman serta arif di dalam selok-belok perbincangan Ilmu Feqh sebagai pemerhati dan pemantau perjalanan perbincangan yang berlangsung.Ini penting bagi memastikan ahli-ahli usrah yang turut serta di dalam perbincangan tidak menyeleweng daripada kaedah-kaedah serta asas-asas penting yang perlu dijaga di dalam bercakap soal Ilmu Feqah.
Meskipun begitu, pihak Jabatan Nuqaba' berasa amat berpuas hati di atas perjalanan program yang berlangsung serta penglibatan ahli-ahli usrah yang amat memberangsangkan.Oleh itu, pihak Jabatan Nuqaba' mengucapkan jutaan terima kasih kepada kesemua fasiliatator dan ahli-ahli usrah yang telah bersama-sama menjayakan muzakarah gabungan pada kali ini yang telah menggunakan tenaga-tenaga mereka sepenuhnya.Semoga medan usrah di Damanhur dapat diteruskan dengan lebih baik dan jitu di dalam melahirkan tenaga-tenaga yang berkualiti untuk amal Islami pada masa akan datang.


Disediakan oleh Jabatan Nuqaba' Peringkat Damanhur
Unit Pembangunan Insan dan Dakwah
Dewan Perwakilan Mahasiswa Damanhur Sesi 2008/2009


[+/-] Baca Selengkapnya...

Hasad Dari Perspektif Islam (bhgn 2)

Islam juga telah menggariskan panduan serta kaedah yang bertujuan untuk kita memelihara diri dari sifat hasad ini yang umpama wabak penyakit yang menular di seluruh lapisan masyarakat termasuk golongan agamawan.Di antara kaedah-kaedah yang dianjurkan oleh Al Qur’an untuk menjaga diri daripada perasaan hasad ini ialah berdasarkan apa yang telah didatangkan pada kisah Sayyidina Ya’qub a.s bersama anak-anaknya yang mana baginda telah memerintahkan mereka supaya mereka tidak masuk melalui satu pintu akan tetapi masuk melalui pintu-pintu yang berbeza-beza.Kemudian, telah datang respon Al Qur’an terhadap nasihat baginda Sayyidina Ya’qub a.s kepada anak-anaknya dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“ Dan tatkala mereka masuk menurut arah yang diperintahkan oleh bapa mereka, tidaklah perintahnya itu dapat menyelamatkan mereka dari apa yang telah ditakdirkan oleh Allah sedikit pun tetapi yang demikian itu hanyalah melahirkan hajat yang terpendam dalam hati Nabi Ya’qub.Dan sesungguhnya dia adalah orang yang berilmu kerana kami telah mengajarnya (dengan perantaraan wahyu) tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (akan rahsia takdir Tuhan) ” (Yusuf : 68)


Walaubagaimanapun, kesemua yang di atas adalah penelitian dan komentar yang diambil berdasarkan Al Qur’an.Adapun Sunnah junjungan besar kita juga tidak ketinggalan di dalam menyatakan perihal yang berkaitan tentang hasad ini.Dari sudut Sunnah Nabawiah pula, sesungguhnya ia telah menyebut kepada kita mengenai kedua-dua jenis hasad iaitu hasad(dengki) dan ghibtoh(cemburu) akan tetapi di dalam hadis telah menungkapkan kedua-dua jenis dengan lafaz hasad dan kadang-kadang dengan lafaz Al A’in untuk hasad yang diharamkan.Maka pandangan sunnah yang menyebut tentang ghibtoh(kegembiraan) ialah berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w :
“ Tidak ada hasad melainkan pada dua jenis golongan iaitu pemuda yang dikurniakan oleh Allah akan harta lalu dia menggunakannya pada kebenaran dan pemuda yang dianugerahkan oleh Allah akan kebijaksanaan dan dia memanfaatkannya dan mengajarnya ” (Riwayat Al Bukhori)
Makna yang dimaksudkan pada “tidak ada hasad” adalah tidak ada hasad yang disyariatkan dan diharuskan.

Adapun pandangan sunnah yang menceritakan tentang hasad yang dikeji pula ialah berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“ Telah merayap(berjangkit) kepada kamu penyakit umat-umat terdahulu sebelum kamu(iaitu) : Perasaan hasad(dengki) dan benci yang mana ia mencukur dan aku tidak mengatakan mencukur bulu tetapi mencukur agama ” (Riwayat At Tirmidzi)
Dan telah datang juga nas yang jelas menegahnya pada sabda Rasulullah s.a.w :
“ Janganlah kamu saling hasad menghasad dan janganlah kamu saling benci membenci dan jadilah hamba Allah yang bersaudara ” (Riwayat Al Bukhori)
Manakala nas hadis yang datang menyentuh perihal kesan hasad ialah pada sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“ Tenungan(Al-A’in) itu adalah benar dan sekiranya ada sesuatu yang mampu mendahului takdir maka tenunganlah yang akan mendahuluinya dan apabila kamu diminta untuk mandi, maka mandilah ”. (Riwayat Muslim)

Musibah dengan sebab tenungan itu merupakan perkara yang sabit dan realiti sepertimana kata Imam Ibnu Hajar dan ianya hanyalah sebagai sebab sahaja yang mana tidak mampu memberi apa-apa kesan melainkan dengan kehendak Allah s.w.t.Sepertimana di dalam perihal jangkitan dan petanda buruk/bersifat pesimis berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w :
“ Tiadalah jangkitan dan tiadalah burung(thirah) dan tiadalah serangga berbisa dan tiadalah hasad itu(memberi kesan) dan tenungan itu adalah memang benar ”.
Di antara kaedah merawat dan mengubati orang yang dihasad ialah dengan si penghasad itu mandi dan kemudian air mandiannya itu disimbah ke atas tubuh orang yang dihasad.Ini berdasarkan daripada peristiwa yang berlaku pada Amir Bin Rabi’ah ketika mana beliau menghasad Sahal Bin Hanif.Oleh itu, berdasarkan pada setiap apa yang telah dinyatakan, maka tidak ada sebab untuk kita mengingkari perihal hasad dan juga kesannya ke atas seseorang dengan izin Allah s.w.t dan kehendakNya dan sesungguhnya telah datang secara mutawatir nas-nas mengenainya dan telah disokong oleh keadaan realiti yang berlaku.

Kesimpulannya, kita selaku umat Islam yang benar-benar berpegang teguh kepada ajaran Al Qur’an dan As Sunnah hendaklah merealisasikan segala tuntutannya baik dari sudut aqidah, akhlak, ibadat serta muamalat dan lain-lain.Maka setiap individu yang berjiwa Islam mestilah menjauhi segala bentuk sifat yang dikeji oleh syarak khususnya hasad dengki yang telah kita perkatakan baik dari segi rohani dan juga jasmani sekaligus mewujudkan suasana harmoni dan kondusif di kalangan masyarakat Islam.Wallahua’lam.

[+/-] Baca Selengkapnya...

Tuesday 7 April 2009

MUZAKARAH GABUNGAN PERINGKAT DAMANHUR- - JABATAN NUQABA'

Assalamualaikum... Pihak Jabatan Nuqaba' DPMDM 2008/2009 akan mengadakan Muzakarah Gabungan peringkat Damanhur pada :

  • Tarikh : 9 April 2009 bersamaan
  • Hari : Khamis
  • Masa : 8 malam selepas bacaan Yaasin
  • Tempat : Dewan Utama Darul HUDA.

Pengisian muzakarah gabungan pada kali ini ialah slot Bicara Feqh yang bakal membincangkan masalah-masalah feqah di dalam isu-isu tertentu.Perbincangan tersebut akan berlegar di sekitar salah satu tajuk pilihan anda.

Oleh itu, pihak Jab.Nuqaba' mengalu-alukan undian sahabat terhadap tajuk-tajuk pilihan anda dan tajuk yang mendapat undian terbanyak akan dipilih sebagai tajuk perbincangan.
Seluruh ahli usrah bersama naqib dikehendaki untuk menghadiri muzakarah ini.
Semua ahli Damanhur juga dijemput untuk mengimarahkan program ini.

Apakah Tajuk Pilihan Anda ?

[+/-] Baca Selengkapnya...

Saturday 4 April 2009

Hasad Dari Perspektif Islam (bhgn 1)

Hasad merupakan satu sifat yang cukup dikenali di kalangan masyarakat kita khasnya Melayu Islam yang semakin lama semakin menular di setiap peringkat baik umur dan baik profesion.Pada hakikatnya, hasad yang menjadi penyakit masyarakat kini adalah hasad yang ditegah sekeras-kerasnya oleh syarak dan tidak ramai yang mengetahui bahawa di sana juga terdapat sifat hasad yang diharuskan oleh agama kita yang suci.Justeru, bagi merungkaikan perkara ini, terlebih dahulu hendaklah kita mengetahui secara terperinci apakah hakikat sebenar bagi hasad.

Definisi bagi hasad dari sudut bahasa dan syarak mengandungi dua kategori.Salah satu daripadanya ialah “ membenci nikmat yang dikecapi oleh seseorang dan bercita-cita supaya nikmat tersebut hilang daripada individu tersebut ” atau dengan istilah Melayu kita, iaitu dengki.Adapun kategori yang kedua ialah “ mengagumi nikmat yang ada pada seseorang individu tanpa wujud harapan supaya nikmat tersebut hilang daripada individu tersebut ”.Hasil daripada ini, dapat kita ketahui bahawa jenis atau kategori yang kedua ini juga diistilahkan dengan ‘ghibtoh’atau kegembiraan.

Kategori hasad yang pertama adalah sifat yang ditegah oleh syarak dan merupakan perkara yang diharamkan manakala hasad yang kedua pula adalah sifat yang tidak diharamkan dan tidak juga ditegah oleh syarak yang benar.Sesungguhnya telah datang setiap ayat mengenai hasad di dalam Al Qur’an menyentuh sifat hasad yang pertama yang diharamkan sepertimana di dalam firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“Dan dari kejahatan orang yang (hasad) dengki apabila ia melakukan (hasadnya) dengkinya (Al Falaq : 5)

Imam Al Baidhawi berkata; “ Bilamana seseorang itu menyatakan hasadnya dan melakukan tuntutan-tuntutannya(hasad) maka sesungguhnya mudharat itu tidak kembali daripadanya kepada orang yang dihasadkan ”.Sepertimana telah datang ayat Al Qur’an menyatakan cita-cita buruk ahli kitab untuk mengeluarkan umat Islam daripada agama mereka di dalam firman Allah s.w.t yang bermaksud :

“ Banyak di antara ahli kitab(Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri sesudah nyata kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w) ”
(Al Baqarah : 109)

Justeru, telah jelas di dalam syariat Islam perintah berjaga-jaga kepada umat Islam supaya mencegah diri daripada penyakit hasad ini.Sesungguhnya hal mengenai perintah berjaga-jaga dari perasaan hasad ini telah nyata di dalam Al Qur’an bahawa Allah s.w.t telah memerintah RasulNya dan umat Islam supaya memohon perlindungan daripada perasaan hasad sepertimana firmanNya yang bermaksud :“ Katakanlah(wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekelian makhluk, Dari bencana makhluk-makhluk yang Dia ciptakan, Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk, Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan), Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya ” (Al Falaq : 1-5)

[+/-] Baca Selengkapnya...

Friday 27 March 2009

U-S-R-A-H

Usrah merupakan satu kalimah yang tidak asing bagi setiap pelajar baik di peringkat pengajian rendah mahupun di peringkat tinggi.Mahasiswa azhari yang lebih banyak bergelumang dengan ilmu-ilmu agama juga tidak ketinggalan dari menjadi subjek atau sasaran di dalam pembawaan usrah.Menjadi satu identiti bagi masyarakat azhari sejak sekian dahulu sehingga ke hari ini di dalam melibatkan diri di dalam sistem usrah yang juga dikenali dengan muzakarah berkelompok.

Usrah merupakan satu manhaj dan sistem yang telah diasaskan oleh seorang tokoh ulamak terkenal di Mesir yang mana pada hari ini telah meluas diguna pakai di seluruh dunia.Usrah memainkan peranan penting bagi suatu pertubuhan atau persatuan di dalam menyampaikan tarbiyah dan pendidikan kepada ahli-ahlinya dan memberi kefahaman yang lebih jelas dan berkesan terhadap tuntutan Islam yang syumul.

Usrah juga dilihat mampu melahirkan individu-individu yang berakhlak dan berthaqafah.
Pada hari ini, sistem yang menjadi nadi penggerak dakwah utama PMRAM telah melalui perjalanan yang cukup jauh sekaligus mematangkan pembawaannya dari semasa ke semasa.Usrah bukanlah semata-mata sekumpulan kecil yang dibentuk di dalam halaqah atau bulatan kecil sepertimana yang difahami oleh segelintir mahasiswa azhari.Usrah juga bukanlah semata-mata pertemuan sejam atau dua jam yang hanya membincangkan hal-hal agama sepertimana yang ditanggapi oleh sekelompok mahasiswa azhari.Akan tetapi hakikat usrah adalah lebih luas dan lebih matang daripada itu malahan mencakupi segala permasalahan dan perihal dari pelbagai skop yang lebih fleksibel dan maksimum.

PMRAM menerusi medium DPM yang sedia ada berusaha untuk meluaskan rangkaian usrah ini dengan lebih luas dan berkualiti.Pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi memastikan perjalanan usrah di setiap kawasan mendapat liputan yang baik dan jelas tanpa sebarang permasalahan.Justeru DPM Damanhur sebagai salah sebuah persatuan yang bernaung di bawah PMRAM juga tidak ketinggalan dari memberi sumbangan ke arah matlamat ini.Dengan penubuhan Jabatan Nuqaba’ di bawah seliaan Unit Dakwah dan Pembangunan Insan sejak awal sesi lagi dilihat mampu membantu pihak DPM di dalam menjayakan usaha murni ini.

Bermula dengan pemantauan para naqib yang dirasakan berpengalaman, pihak Jabatan Nuqaba’ berusaha untuk meluaskan penglibatan usrah ini kepada semua ahli-ahli di Damanhur di samping memfokuskan kepada mahasiswa-mahasiswa baru.Menjadi satu harapan besar kepada pihak Jabatan Nuqaba’ di dalam usaha melahirkan anak-anak usrah yang mampu memberi sumbangan kepada Islam pada masa akan datang.Walaupun di sana kedapatan pelbagai kepincangan yang berlaku, pihak Jabatan Nuqaba’ tetap akan sedaya upaya memperbaiki seterusnya meningkatkan mutu pembawaan usrah di DPM Damanhur.
Dengan tema pembawaan “Thaqafah dan Biah Solehah” diharap mampu membawa dan menjulang usrah ke tahap yang lebih baik dan berkesan.Sehingga ke saat ini, pelaksanaan usrah di DPM Damanhur dilihat masih lagi memerlukan kepada penyerapan teknik dan strategi baru serta pelbagai bagi memperkasakannya.Menyedari akan keperluan ini, pihak Jabatan Nuqaba’ sentiasa memikirkan kaedah-kaedah serta pembawaan yang lebih berkesan dan menyeronokkan di dalam pelaksanaannya.Walaubagaimanapun, satu pihak yang pada hakikatnya lebih banyak memainkan peranan penting adalah dari sudut para naqib itu sendiri.Ini kerana para naqib merupakan individu-individu yang lebih hampir dan memahami jiwa dan kehendak anak-anak usrah sekaligus memberi tenaga dan minat kepada mereka di dalam mengikuti perjalanan usrah tersebut.

Justeru, selain para naqib yang bertungkus-lumus mengendalikan usrah masing-masing, pihak Jabatan Nuqaba’ juga merancang untuk mempelbagaikan pengisian sedia ada di dalam usrah.Usaha tersebut dimulakan dengan pengisian pengkajian serta penterjemahan bahan-bahan ilmiah di dalam setiap usrah di samping membawa permasalahan isu-isu terkini untuk dibincangkan seterusnya diperhalusi dan diselesaikan bersama.Usaha ini adalah seiring dengan tema pembawaan usrah pada kali ini di dalam menambah dan mempelbagaikan thaqafah di kalangan anak-anak usrah.Tidak lupa di dalam membina biah solehah di kalangan mereka, pengisian usrah juga akan lebih menjurus kepada pembinaan syakhsiah diri dan modal insan yang disasarkan.Menjadikan usrah sebagai medan nasihat dan peringatan diharapkan berjaya memperolehi hasil yang lebih baik dan matang.

Oleh itu, pelaksanaan usrah di peringkat DPM Damanhur khususnya sangat memerlukan kepada pengendalian yang lebih bijak dan menyeluruh dari semua pihak baik di kalangan naqib mahupun di kalangan anak buah.Mensasarkan matlamat yang lebih besar diyakinkan dapat memacu perjalanan usrah dengan lebih mantap sehingga benar-benar menjadi medan yang berkesan kepada Islam itu sendiri.Semoga setiap ahli dapat sama-sama memberi komitmen dan sumbangan di dalam memastikan matlamat kita pada kali ini tercapai.Insya Allah.
Wallahu’alam..

Jabatan Nuqaba’
Dewan Perwakilan Mahasiswa Damanhur
Sesi 2008/2009
“ Thaqafah dan Biah Solehah ”

[+/-] Baca Selengkapnya...

Muqadimah..

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum..
Ahlan Wa Sahlan kepada semua sahabat-sahabat Damanhur!
Laman blog ini merupakan medan usrah bagi kesemua para nuqaba' dan ahli-ahli usrah DPMDM
Selamat Berusrah!

[+/-] Baca Selengkapnya...

About This Blog

About This Blog

  © Blogger templates 'Sunshine' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP