Tuesday 14 April 2009

MUZAKARAH GABUNGAN : BICARA FEQH JADI PENDEKATAN

Muzakarah gabungan yang telah dianjurkan oleh Jabatan Nuqaba' Peringkat Damanhur berjaya dilaksanakan pada 9 April 2009 bersamaan 13 Rabiul Akhir 1430 pada Hari Khamis di Dewan Utama Darul Huda.Muzakarah gabungan yang diadakan sekurang-kurangnya sebulan sekali telah berjaya menarik ramai ahli-ahli usrah Damanhur untuk menyertai pengisian pada kali ini.Setelah program BBQ yang telah diadakan pada muzakarah gabungan bulan lalu, kali ini peringkat Jabatan Nuqaba' telah bersepakat untuk membuat sedikit kelainan seiring dengan tema pembawaan usrah kali ini iaitu ' Thaqafah dan Biah Solehah '.


Bicara Feqh menjadi pilihan para fasilitator untuk diketengahkan bagi menambahkan thaqafah di kalangan setiap fasilitator serta ahli-ahli usrah.Program pada kali ini dilaksanakan bagi membincangkan beberapa permasalahan feqah semasa yang dilihat bersesuaian dengan realiti pada hari ini.Bermula dengan pembahagian tajuk serta isu kepada kesemua usrah yang hanya melibatkan mahasiswa tahun 3 dan tahun 4 dilihat mampu merealisasikan matlamat pembawaan usrah di peringkat Damanhur.Tiga tajuk telah diberi pilihan kepada kesemua ahli-ahli Damanhur untuk diundi sebagai tajuk pilihan di dalam Bicara Feqh.Antaranya ialah :
1.Khalwat Ajnabiah
2.Hudud dan Kesyumulannya
3.Kependudukan Kafir Zimmi di Negara Islam
Setelah beberapa hari dibuka untuk undian, akhirnya undian telah berpihak kepada tajuk yang pertama iaitu Khalwat Ajnabiah.Di antara panel yang telah dihantar oleh peringkat usrah masing-masing adalah :
• Ust.Mohd Faizal Bin Sulaiman (Usrah Ust.Khairul Hafiz)
• Ust.Murshid Amin (Usrah Ust.Che Rahim)
• Ust.Muhammad Amir Hafizu Zakaria (Usrah Ust.Taufiq)
Perbincangan banyak berlegar di sekitar definisi serta dalil dan hujah bagi hukum-hukam yang berkaitan dengan tajuk yang dipilih serta permasalahan canga yang timbul.Lebih menarik, perbincangan yang berlangsung dijalankan dalam konsep dua hala yang banyak melibatkan persoalan dan pandangan daripada hadirin yang hadir.Pelbagai reaksi menarik dapat disaksikan sepanjang perbincangan baik daripada peringkat usrah tahun satu sehinggalah usrah tahun akhir.
Lebih penting lagi, aspek utama yang cuba ditonjolkan oleh penganjur pada kali ini adalah dengan cuba memberi kesedaran kepada setiap ahli usrah terhadap kepentingan serta keseronokan di dalam bermuzakarah yang diadakan setiap minggu.Ini kerana setiap kali ahli usrah yang bangun untuk memberi pandangan atau respon, mereka akan diminta untuk memperkenalkan diri serta usrah yang disertai setiap minggu sekaligus membuatkan mereka merasakan diri memiliki keluarga serta tidak kesunyian sepanjang pengajian di Damanhur.

Walaubagaimanapun, di sebalik pelaksanaan Bicara Feqh buat julung kali ini, pihak penganjur melihat terdapat beberapa muhasabah yang perlu diambil perhatian.Di antara perkara yang perlu diperbaiki adalah melantik individu-individu yang berpengalaman serta arif di dalam selok-belok perbincangan Ilmu Feqh sebagai pemerhati dan pemantau perjalanan perbincangan yang berlangsung.Ini penting bagi memastikan ahli-ahli usrah yang turut serta di dalam perbincangan tidak menyeleweng daripada kaedah-kaedah serta asas-asas penting yang perlu dijaga di dalam bercakap soal Ilmu Feqah.
Meskipun begitu, pihak Jabatan Nuqaba' berasa amat berpuas hati di atas perjalanan program yang berlangsung serta penglibatan ahli-ahli usrah yang amat memberangsangkan.Oleh itu, pihak Jabatan Nuqaba' mengucapkan jutaan terima kasih kepada kesemua fasiliatator dan ahli-ahli usrah yang telah bersama-sama menjayakan muzakarah gabungan pada kali ini yang telah menggunakan tenaga-tenaga mereka sepenuhnya.Semoga medan usrah di Damanhur dapat diteruskan dengan lebih baik dan jitu di dalam melahirkan tenaga-tenaga yang berkualiti untuk amal Islami pada masa akan datang.


Disediakan oleh Jabatan Nuqaba' Peringkat Damanhur
Unit Pembangunan Insan dan Dakwah
Dewan Perwakilan Mahasiswa Damanhur Sesi 2008/2009


0 comments:

About This Blog

About This Blog

  © Blogger templates 'Sunshine' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP